Berbekam mungkin dilihat
sebagai kaedah rawatan yang mengerikan bagi segelintir individu yang fobia
terhadap darah. Tidak kurang juga ada yang ngeri apabila mengenangkan mereka
perlu menanggung rasa pedih pada kulit ketika jurubekam melakukan proses vakum bagi
mengumpulkan darah dalam cawan (cup) sebelum bekam dimulakan.
Ketakutan
bertambah apabila memikirkan jarum menusuk ke kulit dan kesan luka pula divakum
untuk mengeluarkan darah kotor yang berada di bawah permukaan kulit, mengalir
masuk ke dalam cawan sewaktu proses bekam dijalankan.
Barangkali
disebabkan ketakutan tersebut, kaedah rawatan ini dalam masyarakat Malaysia
seolah-olah dilihat ‘kurang popular’ meskipun telah dibuktikan melalui
penyelidikan saintifik.
Menurut
Ketua Penyelidik Bekam Klinikal, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti
Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian Kelantan, Prof. Dr. Ab. Aziz Al-Safi Ismail,
satu kajian mengenai kesan bekam ke atas pengurangan risiko penyakit jantung
melibatkan kumpulan individu yang sihat dan bagi kelompok yang mengalami
masalah diabetes dan darah tinggi telah dijalankan.
Kajian
ini dilakukan pada Oktober 2011 hingga Februari 2014 di bawah Geran
Penyelidikan yang diberikan oleh Kementerian Sains Teknologi dan Alam Sekitar.
Tujuan
penyelidikan menurut Dr. Ab. Aziz untuk mengenal pasti kesan terapi bekam basah
dalam kalangan subjek, tekanan darah, parameter biokimia, fungsi ginjal dan
fungsi endotelial (lapisan dalam salur darah).
Sebanyak
93 responden berusia antara 30 dan 60 tahun telah menyertai kajian, iaitu 62
responden tiada penyakit kronik yang telah dibahagi secara rawak dan seimbang
kepada kumpulan kontrol dan kumpulan intervensi. Manakala bagi kumpulan
diabetes melibatkan 31 peserta.
Bekam
klinikal dilakukan ke atas subjek dalam kumpulan intervensi dan kumpulan
diabetes, manakala tiada intervensi dijalankan bagi individu dalam kumpulan
kawalan.
Katanya,
semua peserta telah menjalani dua sesi berbekam klinikal iaitu pada permulaan
kajian dan pada bulan ketiga. Berdasarkan kedua-dua sesi tersebut penilaian
kajian telah dibuat merangkumi permulaan kajian, bulan pertama, bulan ketiga
(sebelum sesi kedua bekam) dan bulan ke empat untuk semua peserta.
“Kumpulan
bekam difokuskan kepada kelompok tidak menghidap diabetes, menunjukkan terdapat
penurunan signifikan paras gula dalam darah semasa berpuasa (FBS) dan semua
parameter fungsi ginjal, iaitu serum urea, kreatinin dan asid urik dari
permulaan kajian hingga bulan pertama, ketiga dan keempat menunjukkan
penurunan.
Serum
trigliserida iaitu sejenis lemak dalam darah dan tekanan darah sistolik (SBP
-bacaan tekanan apabila jantung mengepam darah ke seluruh badan) juga
menunjukkan penurunan yang signifikan di bulan pertama.
“Semua
profil serum lipid mengandungi pelbagai jenis lemak dalam darah kecuali
trigliserida menunjukkan penambahbaikan yang signifikan pada bulan ketiga dan
keempat. Faktor Antigen Von Willebrand (VWF) iaitu sejenis bahan yang
menentukan keanjalan salur darah turut menunjukkan penurunan yang signifikan
pada bulan keempat.
“Di
akhir kajian, semua profil serum lipid, FBS, serum urea iaitu paras urea dalam
darah dan bahan yang menentukan kesihatan buah pinggang. Jika bacaannya lebih
daripada 10, itu menandakan buah pinggang tidak sihat. Dan, kreatinin (satu
lagi jenis bahan dalam darah yang menentukan kesihatan buah pinggang dan jika
bacaannya lebih 600, rawatan dialisis mesti dilakukan) bertambah baik secara
signifikan berbanding dengan kumpulan kawalan,” kata Dr. Ab. Aziz.
Penilaian
terhadap kumpulan penghidap diabetes pula mendapati, FBS, tekanan darah dan
semua parameter fungsi ginjal menunjukkan penurunan yang signifikan pada bulan
pertama, ketiga dan keempat.
Paras
kolesterol peserta bekam secara keseluruhan juga menunjukkan penurunan yang
ketara pada bulan ketiga dan ke empat. Bagi serum HDL-C dan LDL-C (kedua-duanya
sejenis lemak dalam darah) dan antigen VWF (sama seperti 5), perubahannya dapat
dilihat pada bulan keempat.
“Kajian
ini mendapati, selain mengamalkan gaya hidup yang sihat seperti senaman,
mengambil makanan yang seimbang dan tidak merokok, rawatan berbekam klinikal
boleh diamalkan sebagai salah satu kaedah perubatan alternatif bagi membantu
mencegah berlakunya penyakit kardiovaskular,” ujar beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan